Sepatah Dua Kata

Sunday, October 10, 2010

Segala Dosa Dibongkar

Allah SWT telah menamakan hari kiamat dengan bermacam-macam nama dan gelaran.Salah satu daripada nama atau gelaran baginya ialah Yaumul Jamai'e yang bererti Hari Perhimpunan.Firman Allah SWT dalam al Quran yang bermaksud:

"Ingatlah hari yang pada waktu itu Allah mengumpulkan kamu pada hari perhimpunan untuk dihisab,itulah hari diperlihatkan segala kesalahan dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan mengerjakan amal soleh nescaya Allah akan menutupi kesalahannya dan memasukkannya ke dalam syurga dan mengalir sungai dibawahnya,mereka kekal di dalam selama-lamanya.Itulah keuntungan yang besar.''
(Surah at Taghabun:9)

Melalui ayat ini Allah SWT menjelaskan mengenai Yaumul Jamai'e di mana setiap insan pasti akan dihimpun dan dikumpulkan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar kelak.Perhimpunan itu diadakan semata-mata untuk menghitung dan menghisab segala amal perbuatan manusia sama ada yang baik ataupun yang buruk.Perhitungan ini juga dibuat adalah untuk memilih dengan penuh keadilan oleh Allah SWT untuk mengetahui dan menilai ke manakah akhir kesudahan seseorang hamba-Nya sama ada ke syurga yang bahagia ataupun ke neraka yang celaka.Ini semua adalah berdasarkan timbangan amal masing-masing.

Pada hari perhimpunan yang besar itu,Allah SWT akan menampakkan segala kesalahan yang pernah dan telah dilakukan oleh seseorang hamba-Nya sama ada kesalahan itu dilakukan secaran terang-terangan mahupun sembunyi dan rahsia.Ingatlah bahawa pada hari itu,tidak terdapat sesuatu pun yang dapat disembunyikan oleh mana-mana insan kerana semuanya dalam pengetahuan Allah SWT.

Bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh kepada Allah SWT,sekalipun mereka melakukan kesalahan dan sememangnya manusia tidak pernah sunyi daripada melakukan dosa dan kesilapan.Tetapi sifat orang yang beriman itu segera sedar kerana kesalahan yang dilakukan,mungkin tidak sengaja ataupun terpaksa melakukannya dalam keadaan tertentu.Namun mereka dengan segera menyesalinya dan bertaubat kepada Allah SWT.

Justeru,Allah SWT menjelaskan dalam ayat 9 surah at Taghabun di mana Allah SWT berjanji kepada orang-orang beriman bahawa segala kesalahan mereka akan ditutupi serta memasukkan mereka ke dalam syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai.Manakala di penghujung ayat itu,Allah SWT menyatakan bahawa keadaan  orang-orang beriman yang telah ditutupi segala kesalahannya pada hari perhimpunan itu,ia merupakan anugerah yang besar daripada Allah SWT dan itulah keberuntungan yang sangat besar bagi orang-orang beriman.

Bagi orang-orang kafir pula nasib mereka ditetapkan oleh Allah SWT seperti yang dijelaskan-Nya dalam surah at Taghabun ayat 10 yang bermaksud:
"Dan orang-orang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami,mereka itulah penghuni neraka,mereka kekal di dalamnya.Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali"

Dalam ayat ini,Allah SWT menerangkan ciri-ciri orang kafir iaitu mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah SWT.Orang yang mendustakan ayat-ayat Allah SWT termasuklah mereka yang tidak mengambil ataupun menolak peraturan dan hukum Allah SWT yang terkandung di dalam al Quran sebagai peraturan hidup sama ada kehidupan individu,masyarakat mahupun negara.Mereka yang mengambil hanya sebahagian  daripada hukum Allah SWT yang sesuai dengan dirinya,seperti hukum-hukum dalam bidang ibadat tertentu seperti solat,puasa,haji dan zakat.Mereka inilah sebenarnya golongan sekular yang hanya melaksanakan secebis daripada syariat Allah SWT yang dapat menjadi sumber keuntungan seperti zakat.Mereka bersungguh-sunguh mengadakan institusi zakat dan mewujudkan enakmen mengenainya supaya orang yang ingkar dapat dihukum.Hal ini dapat diumpamakan seperti menangkap ikan di dalam pukat yang sudah pasti mendapat keuntungannya.Sekalipun mereka melakukan ibadat kepada Allah SWT melalui ibadat khusus seperti solat,puasa,zakat dan haji serta sebagainya,namun tidak bermakna dan bukanlah pula satu jaminan bahawa mereka beriman sekiranya mereka sanggup menolak sebahagian ayat-ayatNya terutama ayat-ayat hudud yang wajib dilaksanakan oleh mereka yang berkuasa.

Pada hari perhimpunan itu nanti,Allah SWT akan memisahkan antara golongan mukmin dan kafir.Perpisahan ini amat ketara tatkala Allah SWT memperlihatkan segala kesalahan orang mukmin akan ditutupi dan dosa orang kafir ditunjukkan.Ini adalah sebagai salah satu rahmat dan anugerah daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mementingkan iman dan aqidah dalam kehidupan.

Semasa kehidupan di dunia,orang kafir dan golongan mukmin masih lagi boleh hidup bermasyarakat,malangnya di akhirat kelak mereka terpaksa berjauhan dan berpisah menjadi dua firqah yakni satu firqah penghuni syurga manakala satu lagi penghuni neraka dan menjadi bahan bakar apinya.Allah SWT berfirman dalam surah as Syura ayat 7 yang bermaksud:
"Demikianlah Kami wahyukan kepadamu Muhammad al Quran dalam bahasa arab supaya kamu memberi peringatan kepada ummu qura (penduduk Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) di sekelilingnya (penduduk dunia) serta memberi peringatan pula mengenai Yaumul Jamai'e hari perhimpunan (kiamat) yang tidak ada keraguan padanya.Satu firqah masuk syurga dan satu firqah lagi masuk neraka."

Kesempatan yang masih terbuka di dunia ini kepada manusia untuk memilih firqah mana yang mesti dituruti,sama ada firqah orang yang beriman kepada Allah SWT dan beramal soleh ataupun firqah yang mendustakan ayat-ayat Allah SWT.Pilihlah dengan  berhati-hati dan jangan menyesal di hari kemudian.Insya Allah.